Tuesday, 1 November 2011

Kerjaya Sebagai Arkitek Landskap

BAYANGKAN kerjaya yang memberi peluang terbuka dan meluas serta kebebasan untuk merancang, menilai, mereka bentuk ruang yang seiringan dengan pemeliharaan dan pemuliharaan alam semulajadi.


Kerjaya ini dilakukan di dataran-dataran bandar, di kawasan-kawasan awam, di sepanjang laluan jalan raya dan lebuh raya, badan air (waterfronts), taman bandar dan taman rekreasi, hutan, tasik, tanah lapang yang terbentang luas mahupun ruangan kecil di antara bangunan, di cerun bukit, gunung-ganang malah di persisiran pantai.

Bayangkan anda bekerja di pejabat, di tapak pembinaan projek, di tengah kesibukan bandar metropolitan mahu pun di tengah keheningan persekitaran desa. Lebih mencabar lagi, jurulandskap menghiasi permukaan air tasik, laut dan juga sungai, di kawasan perumahan, perniagaan, perdagangan mahu pun perkilangan dengan menggunakan gabungan kepakaran artistik, saintifik dan kemahiran teknikal.

Kemahiran ini boleh dipelajari untuk menghasilkan reka bentuk yang kreatif di dalam dunia masyarakat inovatif masa kini. 

Kerjaya anda adalah untuk mewujudkan persekitaran yang bertambah baik demi menjamin tahap kualiti kehidupan yang tinggi. Bayangkan menjadi seorang artis dalam masa yang sama menjadi seorang saintis.

Bayangkan anda sebagai seorang intelek alam yang menjaga kepentingan persekitaran setempat melalui kepakaran ilmiah dan latihan amali khusus yang telah dipelajari dan dipraktikkan dalam kehidupan kerjaya harian.

Bayangkanlah kerjaya arkitek landskap dalam bidang Seni Bina Landskap. Bidang seni bina lanskap merupakan bidang yang masih dikategorikan sebagai `bidang baru' di negara kita walaupun ia hampir mencapai umur 20 tahun pada bulan Ogos 2005 ini di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Ungkapan landskap itu sendiri sering disamaertikan dengan pokok-pokok di taman mahupun tumbuh-tumbuhan yang terdapat di persekitaran kita. Namun, inilah masanya tanggapan masyarakat umum yang seakan sudah sebati dengan sinonim erti ungkapan lanskap dan taman, telah tidak lagi di salahtafsirkan dengan maksud yang sebenarnya.

Landskap dalam erti kata umum adalah pantulan daripada gabungan sistem semulajadi, dinamik dan sosial di dalam kehidupan harian.

Landskap adalah hasil interaksi di antara faktor abiotik (sifat fizikal seperti air, udara dan tanah), Biotik (sifat peribumi kehidupan seperti haiwan, serangga dan tumbuh-tumbuhan serta ekosistemnya) dan Budaya (seperti corak kehidupan manusia, komuniti, ekonomi mahupun sejarah) yang secara tidak langsung telah mewujudkan peradaban persekitaran setempat.

Ini bermakna, lanskap bukanlah pokok atau tumbuh-tumbuhan semata-mata yang sering menjadi sebutan atau tanggapan umum. Ia merupakan salah satu fungsi atau elemen yang diadaptasikan di dalam sesuatu reka bentuk ruang atau kawasan luaran bergantung kepada tujuan reka bentuk tersebut.

Seni bina landskap merupakan bidang kerjaya yang mempunyai pilihan yang meluas merangkumi pelbagai aspek yang menggabungkan unsur seni dan sains dalam mereka bentuk dan menghasilkan persekitaran yang lebih baik kepada masyarakat.

Seni bina landskap memberi keutamaan kepada reka bentuk yang kreatif, inovatif, sensitif dan efektif dengan perancangan dan pengurusan sesuatu ruang atau kawasan luaran mahupun dalaman agar ia berfaedah untuk generasi sekarang dan yang akan datang.

Seni bina landskap juga kadang kala dikenali sebagai kerjaya halimunan kerana mereka ini mereka bentuk kawasan atau ruang di antara bangunan yang wujud tanpa kita sedari, ruang yang kita lalui dan digunapakai pada setiap hari, ruang yang memberi keselesaan dan rangsangan ketenangan serta jaminan keselamatan kepada kita agar persekitaran setempat bertambah sihat ke arah pembentukan kehidupan yang berkualiti.

Individu yang dilatih di bidang ini di kenali sebagai arkitek landskap. Seorang arkitek lanskap itu dilatih secara khusus untuk menimba ilmu pengetahuan yang mendalam merangkumi gabungan integrasi unsur seni dan sains.

Tugas arkitek landskap ialah mengenal pasti permasalahan setempat yang wujud dengan menyelesaikannya melalui perancangan reka bentuk yang inovatif untuk sesuatu ruang itu atau kawasan tertentu yang sesuai dengan kehendak pengguna, alam sekitar dan kos dengan memenuhi syarat undang-undang serta akta perancangan kerajaan tempatan.

Arkitek landskap juga bertanggung jawab untuk menyelaras, mengawas dan menguruskan pelaksanaan sesuatu projek lanskap dari awal hingga ke akhir penyiapannya dengan konsep bekerja dalam satu kumpulan bersama kerjaya profesional lain seperti arkitek bangunan, jurutera , juruukur, pereka bentuk dalaman, perancang bandar, dan juga juruukur bahan di dalam sesuatu projek pembangunan yang dilaksanakan.

Tugas arkitek lanskap bermula apabila beliau diminta untuk menasihati atau menjadi pakar rujuk mengenai proses perancangan untuk meningkatkan mutu kehidupan manusia bagi membolehkan masyarakat setempat menikmati serta mengecapi keselesaan, keselamatan dan keindahan alam sekitar yang berkualiti.

SYARAT MENJADI ARKITEK LANDSKAP

Seseorang itu perlu lulus sekurang-kurangnya peringkat Sarjana Muda Seni Bina Landskap dari institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara yang diiktiraf.

Mereka juga perlu lulus peperiksaan yang dikendalikan oleh Institut Arkitek Landskap Malaysia (I.L.A. Malaysia) bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai arkitek landskap bertauliah.

TAWARAN INSTITUSI PENGAJIAN

Sekiranya berminat untuk menceburi bidang ini sebagai kerjaya, kursus diploma, sarjana muda atau sarjana seni bina landskap boleh diikuti sama ada di institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara. IPT awam tempatan yang menawarkan kursus ini ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan Universiti Sains Malaysia (USM). Kursus ini juga boleh diikuti di beberapa universiti luar negara seperti di Singapura, Australia, New Zealand, Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

SYARAT MELANJUTKAN PENGAJIAN DI UiTM

Program Diploma Seni Bina Landskap

Syarat kemasukan ialah pelajar perlu lulus SPM dengan sekurang-kurang memperoleh lima kredit termasuk subjek Matematik atau Matematik Tambahan, Sains atau Fizik atau Kimia atau Biologi atau Sains Tambahan.

Pelajar juga wajib lulus subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Pelajar juga layak untuk memohon sekiranya mempunyai sijil kursus di dalam bidang agrikultur atau lanskap dari politeknik atau Institut Kemahiran MARA atau pra-diploma di bidang Sains dari UiTM dengan HPNG tidak kurang dari 2.75 atau yang diiktiraf sama dengannya.

Program Sarjana Muda Seni Bina Landskap

Syarat kemasukan ialah pelajar harus mempunyai Diploma Seni Bina Landskap dari UiTM dengan HPNG tidak kurang dari 2.50 bersama pengalaman bekerja di bidang berkaitan sekurang-kurangnya selama satu (1) tahun;

atau 

Diploma berkenaan bidang yang sama dari institusi yang berlainan yang diiktiraf dengan HPNG tidak kurang dari 2.50 bersama pengalaman bekerja di bidang berkaitan sekurang-kurangnya selama tiga (3) tahun;

atau 

Diploma dari bidang yang berkaitan dari UiTM atau institusi yang berlainan yang diiktiraf dengan HPNG tidak kurang dari 2.50 bersama pengalaman bekerja;

atau 

Matrikulasi/ STPM dengan keputusan prinsipal minimum di dalam dua (2) subjek sama ada Matematik, Fizik, Kimia, Biologi, Ekonomi, Sejarah, Geografi, atau Seni Lukis

PELUANG PEKERJAAN

Graduan berpeluang untuk meneruskan kerjaya sebagai arkitek landskap (kelulusan minimum ijazah sarjana muda) atau pun sebagai pembantu arkitek lanskap (kelulusan minimum diploma) atau sebagai pembantu teknikal kepada arkitek bangunan atau pun perancang bandar di pelbagai firma, jabatan, kementerian dan organisasi yang di antaranya seperti berikut;

Institusi Pengajian Tinggi, Jabatan landskap Negara, Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Pendidikan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Institut Arkitek Lanskap Malaysia, Majlis-Majlis Daerah, Pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan, firma-firma perunding lanskap, syarikat kontraktor lanskap, syarikat pemaju perumahan, firma perunding arkitek, firma perunding perancang bandar dan wilayah serta pelbagai syarikat atau firma lain yang berteraskan kepada projek pembangunan atau penyelenggaraan
"

No comments:

Post a Comment